Kepentingan Dana Persaraan

petikan dari akhbar “kosmo”

kwsp_ringgit_600Usianya telah menjengah 65 tahun, namun Salmah Zainol masih lagi mencari rezeki sebagai penjaja makanan di tepi jalan. Bekas kakitangan sebuah syarikat swasta itu terpaksa melakukan pekerjaan tersebut untuk menampung perbelanjaan harian keluarganya.

Hal ini kerana duit simpanan yang diperoleh daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ketika berusia 55 tahun lalu sudah habis dibelanjakan untuk membina rumah, membayar yuran pembelajaran anak-anak ke institusi pengajian tinggi dan keperluan harian yang lain.

Ia adalah antara senario kesukaran yang dialami oleh sebahagian besar golongan pesara di Malaysia ketika ini. Mereka terpaksa bekerja walaupun usia sudah lanjut terutamanya bekas pekerja sektor swasta.

Tabiat

Begitupun, masalah itu dijangka bertambah serius pada masa hadapan seandainya kesedaran masyarakat terhadap kepentingan dana persaraan masih rendah.

Perunding Kewangan, Dr. Niki Shuhada Shukor berkata, tabiat masyarakat yang gemar berbelanja mengikut kehendak menjadi punca utama generasi muda pada hari ini tidak menyimpan wang persaraan.

muflisKatanya, golongan muda lebih tertumpu kepada perbelanjaan semasa tanpa mengambil peduli perancangan kewangan pada masa hadapan. “Keghairahan generasi hari ini berbelanja berkait rapat dengan sikap suka mengikut perkembangan terkini sama ada daripada segi pakaian hinggalah alatan elektronik. Bagi golongan ini, kehidupan bekonsepkan biar papa asal bergaya menjadi corak hidup sehingga sanggup menghabiskan duit gaji bulanan mereka. Malah, lebih teruk lagi ada yang sanggup berhutang kerana ingin hidup mewah,”

Berdasarkan data Jabatan Insolvensi Malaysia, seramai 23,397  individu yang diisytiharkan muflis sepanjang tahun 2007 sehingga september 2013 adalah dalam lingkungan umur 25 hingga 34 tahun.

Lebih membimbangkan, apabila ada antara mereka yang belum lagi genap usia 25 tahun , namun menghadapi kemelut kebankrapan. Biarpun jumlahnya hanya1,322 individu, polemik kebimbangan itu harus diambil perhatian kerana ia boleh merencatkan urusan tabungan persediaan hari tua.

Jangka Hayat

Menurut Niki Shuhada, kebergantungan terhadap simpanan KWSP sahaja masih belum cukup untuk menampung kehidupan seseorang selepas bersara. Katanya, ketidakcukupan itu berkait rapat dengan faktor kos sara hidup yang semakin meningkat, jangka hayat rakyat Malaysia yang panjang dan gaji terlalu rendah.

“Kebanyakan pesara menghabiskan simpanan KWSP dalam tempoh singkat sehingga memaksa mereka bekerja semula untuk menampung perbelanjaan harian”.

“Hal ini kerana mereka gagal merancang. Duit KWSP digunakan untuk memenuhi cita-cita dan bukannya sebagai pengganti pendapatan,”

Kajian AXA Retirement Scope 2010 yang dilakukan AXA Group mendapati, 38 peratus pekerja Malaysia yang merancang persaraan kebanyakannya menabung pada usia 40 tahun. Keadaan ini membimbangkan kerana tanpa disedari dunia persaraan semakin hampir dan kegagalan menabung saat awal menyebabkan kedudukan kewangan mereka tidak stabil.

Bagi mengatasi masalah itu, Niki Shuhada menyarankan kepada masyarakat supaya merancang kewangan pada usia muda. Menerusi perancangan yang baik, seseorang itu dapat menambah pendapatan atau simpanan mereka hasil kadar pulangan atau faedah.

“Banyak skim pelaburan yang menyediakan kadar pulangan tahunan yang tinggi seperti amanah saham. Malah, kerajaan juga menubuhkan Skim Persaraan Swasta (PRS) sebagai alternatif penyimpanan hari tua.” katanya.